AGENDA

PM: Rasuah beri kesan agihan kepada golongan memerlukan

8 Nov 2023, 11:50 AM
PM: Rasuah beri kesan agihan kepada golongan memerlukan

PUTRAJAYA, 8 NOV: Amalan rasuah, penyelewengan dan pembaziran perlu dihentikan kerana ia beri kesan pengagihan kepada golongan memerlukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap merasmikan Kolokium Madani Perkhidmatan Awam di sini hari ini, beliau yang juga menteri kewangan berkata pembaziran mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan amalan itu perlu dibanteras dengan tekad politik daripada Jemaah Menteri serta dukungan penjawat awam.

“Paling ketara ialah kerana (kelemahan) tatakelola dan penyelewengan diterima sebagai satu sistem. Beberapa skandal besar tidak mungkin berlaku hanya dengan ahli politik yang korup.

“Dia kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistemnya, ilmuan dan ahli akademik diam membisu dan pentadbir yang susah terima kenyataan ini dan tidak mampu lakukan perubahan,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pimpinan penjawat awam kerana mempamerkan prestasi membanggakan dalam tempoh hampir setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

-BERNAMA