ad
AGENDA

Isi rumah di Malaysia miliki akses tinggi bekalan asas, institusi kesihatan awam

31 Okt 2023, 10:37 AM
Isi rumah di Malaysia miliki akses tinggi bekalan asas, institusi kesihatan awam

PUTRAJAYA, 31 OKT: Isi rumah di Malaysia mempunyai akses tinggi kepada bekalan air paip dan elektrik di kediaman, menurut Laporan Survei Kemudahan Asas yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Laporan itu memaklumkan, pada 2022, peratusan akses kepada air paip di tempat kediaman adalah pada 96.7 peratus manakala akses isi rumah terhadap bekalan elektrik ialah 99.7 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan susulan penerbitan laporan itu berkata dapatan berkenaan memperlihatkan hampir 98 peratus isi rumah Malaysia tinggal berdekatan institusi kesihatan awam dengan jarak kurang dari lima kilometer.

Beliau berkata peratusan akses isi rumah kepada sekolah rendah dan menengah dengan jarak kurang dari lima kilometer masing-masing pada 98.5 dan 95.3 peratus manakala peratusan akses isi rumah kepada tadika awam dengan jarak berkenaan pula ialah 97.4 peratus.

Mohd Uzir berkata pada 2022, peratusan pemilikan rumah oleh isi rumah di Malaysia adalah 76.5 peratus manakala peratusan isi rumah mendiami kediaman yang disewa, 20.3 peratus.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.