AGENDA

KKM siap siaga berhubung kemungkinan wujud virus X - Lukanisman

30 Sep 2023, 4:19 AM
KKM siap siaga berhubung kemungkinan wujud virus X - Lukanisman

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kesiapsiagaan tinggi menghadapi segala kemungkinan, berhubung kewujudan Penyakit X di negara ini, kata Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata persediaan itu antaranya, berpandukan pengalaman menangani situasi pandemik Covid-19 termasuk beberapa penyakit lain seperti virus nipah, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) sebelum ini, malah jelasnya penyakit berkenaan belum lagi dikenal pasti kewujudannya.

Beliau berkata KKM akan sentiasa membuat pemantauan berhubung sebarang perkembangannya di dalam dan luar negara, serta memperkukuhkan sistem kesihatan negara untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya berharap rakyat tidak bimbang dan maklumat mengenai sebarang penyebaran penyakit atau virus akan terus diuar-uarkan kepada umum,” katanya ketika ditemui selepas program ‘Lotus’s Ceria Charity Run’ di Setia Alam bersempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera hari ini.

Sementara itu Lukanisman berkata kempen Bulan Malaysia Sihat Sejahtera yang dilaksanakan pada September setiap tahun itu, merupakan antara inisiatif KKM mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat.

Beliau berkata penganjuran kempen itu juga bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama antara rakan strategik khususnya melibatkan pihak swasta dan ia seiring dengan salah satu strategi dalam Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Parlimen Jun lalu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.