AMPANG JAYA, 25 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengambil inisiatif menambah kuantiti beras 5kg di Jelajah Ehsan Rahmah (JER) bagi memenuhi permintaan tinggi pengunjung.
Penyelia Unit Jualannya Muhammad Farid Mustafa berkata penjualan beras jenama Ehsan itu juga diharap meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras tempatan.
[caption id="attachment_604505" align="alignleft" width="397"]
Penyelia Unit Jualan PKPS Muhammad Farid Mustafa. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI[/caption]
“PKPS tambah kuantiti beras secara berperingkat. Hari ini sebanyak 290 kampit disediakan di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada harga RM13 sekampit.
“Kebiasaannya kita bawa beras 200 kampit sahaja. Dalam minggu ini kita jangka ada penambahan dengan setiap lori JER bawa 400 kampit beras," katanya.
Beliau ditemui di program JER DUN Lembah Jaya bertempat di Laman Niaga @ Ampang Waterfront hari ini.
Muhammad Farid berkata jualan beras 5kg pada harga RM13 dibuat sejak Sabtu lalu dengan hanya satu kampit dihadkan kepada setiap pembeli.
“Sekarang ini, harga pasaran beras tempatan adalah RM18.70 untuk 5kg dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi subsidi RM5.70 menjadi RM13. Hanya harga beras sahaja ada kenaikan di JER tetapi harga barangan asas lain masih sama,” katanya.
[caption id="attachment_604506" align="alignright" width="391"]
Pembantu Jualan Selangor Fruit Valley (SFV) Muhammad Syawal Fitri Fadzil Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI[/caption]
Sementara itu, Pembantu Jualan Selangor Fruit Valley (SFV) Muhammad Syawal Fitri Fadzil berkata hasil ladang seperti sayur-sayuran dan buah-buahan turut dijual di JER.
“Antara sayur yang dijual ialah kacang panjang, bendi, peria, limau nipis, limau kasturi, serai, belimbing dan nenas MD2. Barangan yang kita bawa berbeza bagi setiap lokasi bergantung kepada keluaran di ladang.
“Barangan ini mendapat permintaan tinggi kerana ia segar dari ladang kami dan pengunjung memang menyukainya terutama nenas MD2,” katanya.
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan beras putih tempatan di Selangor cukup untuk menampung keperluan penduduk sehingga akhir tahun.
Beliau menjelaskan negeri memiliki baki bekalan 20,000 tan metrik sekali gus tiada keperluan untuk menggunakan stok penimbal iaitu simpanan jika sesuatu barangan di pasaran tidak cukup.
[caption id="attachment_604509" align="aligncenter" width="700"]
Orang ramai membeli barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah peringkat DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI[/caption]
[caption id="attachment_604520" align="aligncenter" width="701"]
Orang ramai membeli barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah peringkat DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI[/caption]








