SHAH ALAM, 25 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni 10 keluarga yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat ribut di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang minggu lalu.
Agensi itu memaklumkan semua mangsa menerima sumbangan kotak makanan sebagai permulaan selain perlu melengkapkan dokumen bagi bantuan susulan.
“Team Operasi Agihan Asnaf Hulu Langat tampil menyantuni golongan yang ditimpa musibah ini. Seramai 10 keluarga di PPS diberi sumbangan berupa kotak makanan sebagai permulaan.
“Secara umumnya, mangsa ribut yang terlibat akan disantuni dengan bantuan susulan setelah menerima dokumen yang lengkap daripada pihak Ketua Kampung Sesapan Batu Rembau,” katanya di Facebook.
LZS menyeru orang ramai terus tunai kewajipan berzakat bagi memastikan manfaatnya terus dinikmati ummah. Urusan zakat boleh dilaksanakan menerusi https://fpx.zakatselangor.com.my/
Dalam kejadian 19 September lalu, sebanyak 96 kediaman membabitkan 370 mangsa rosak teruk akibat ribut kira-kira jam 7 malam.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.
Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menyampaikan bantuan segera berbentuk makanan asas dan perkakas penjagaan diri kepada mangsa terlibat.
[caption id="attachment_604488" align="aligncenter" width="566"]
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni keluarga yang terjejas akibat ribut di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang. Foto Facebook LZS pada 22 September 2023.[/caption]








