SHAH ALAM, 25 SEPT: Polis menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan mati lemas dalam kolam renang di sebuah pangsapuri di Bangi pada 13 September.
Ketua polis daerah Kajang berkata suspek yang juga abang tiri mangsa berada di lokasi kejadian ketika itu didakwa hanya melihat tanpa membantu menyelamatkannya, lapor Berita Harian.
Menurut Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, penahanan suspek yang berusia 26 tahun dibuat setelah pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, suspek yang juga abang tiri mangsa dilihat leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas di kolam renang tanpa bertindak menyelamatkannya," katanya.
Beliau menjelaskan pihaknya menerima laporan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 September.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia empat tahun disahkan meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari pada 14 September dan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Kes disiasat dan diklasifikasi mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.








