AGENDA

Titah Sultan: Mais seru umat Islam bersatu padu, elak tindakan cetus perbalahan

21 Sep 2023, 5:30 AM
Titah Sultan: Mais seru umat Islam bersatu padu, elak tindakan cetus perbalahan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam di negeri ini untuk terus bersatu padu dan mengelakkan permusuhan yang menggugat keharmonian negeri.

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata semua masyarakat bersatu padu dalam memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam Negeri Selangor, Mais amat menitikberatkan perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

“Masyarakat Islam mestilah sentiasa menunjukkan sikap hormat-menghormati antara sesama manusia yang merupakan tuntutan agama Islam.

“Perlu juga sifat menghormati kepercayaan, agama dan bangsa yang pelbagai khususnya di Selangor agar keharmonian sentiasa dapat dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berharap rakyat dapat menghayati titah Sultan Selangor dengan menghindari perbuatan bersangka buruk, fitnah dan mencela yang boleh mencetuskan perbalahan.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Baginda turut menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.