BERITA UTAMA

Peralihan monsun: Penduduk diminta waspada, peka amaran cuaca

20 Sep 2023, 3:00 PM
Peralihan monsun: Penduduk diminta waspada, peka amaran cuaca

KAJANG, 20 SEPT: Penduduk negeri ini dinasihatkan supaya berwaspada sepanjang fasa peralihan monsun yang membawa hujan lebat berserta angin kencang.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi juga mengingatkan rakyat untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berwajib.

"Memandangkan situasi sekarang memasuki musim (peralihan) monsun, maka dijangkakan hujan akan berlaku di mana-mana di Selangor.

"Jadi saya minta penduduk Selangor agar sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini," katanya ditemui selepas menziarah mangsa ribut di pusat pemindahan sementara Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang di sini hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri melalui unit pengurusan bencana juga bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana luar jangka.

"Saya difahamkan di peringkat Hulu Langat mereka ada buat simulasi dan terjadi pula kejadian ribut (semalam). Alhamdulillah persediaan itu sudah ada cuma minta jauh bencana sebegini.

"Di peringkat Kerajaan Negeri memang kita dalam status siap-siaga sekiranya berlaku kemungkinan bencana seperti banjir dan ribut," katanya.

Khamis lalu, Jabatan Meterologi (MetMalaysia) meramalkan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah kondusif untuk kejadian ribut petir berikutan fasa peralihan monsun bermula semalam dan berterusan hingga November.

Kejadian ribut petir itu lazimnya membawa hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.