SHAH ALAM, 18 SEPT: Seorang lelaki yang merempuh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya semalam direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani berikutan kejadian di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson sekitar 11 pagi, yang tular di media sosial, lapor Berita Harian.
Dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal Yamaha Y125ZR dikatakan cuba melanggar sekatan jalan raya sebelum merempuh pegawai JPJ Mohd Nurhakim Mohd Razif hingga cedera.
Suspek yang ditahan di tempat kejadian, didapati mempunyai lapan rekod dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.
Kes disiasat bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.


