AGENDA

Ibu maut, tiga anak sesak nafas, rumah kedai terbakar

13 Sep 2023, 10:39 AM
Ibu maut, tiga anak sesak nafas, rumah kedai terbakar

JOHOR BAHRU, 13 SEPT: Ibu maut, tiga anaknya termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sesak nafas selepas rumah kedai didiami mereka di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana di sini terbakar, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata mangsa berusia 53 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas, ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Beliau berkata kanak-kanak itu dan dua lagi mangsa lelaki yang berusia 18 dan 21 tahun turut dirawat di hospital sama.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan tiga bangunan rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal yang berkeluasan 24x100 kaki, setiap satu bangunan.

"Bangunan pertama mempunyai sebuah kedai dan lima pintu bilik sewa terbakar 70 peratus, manakala bangunan kedua pula sebuah kedai dan lima pintu bilik sewa terbakar 90 peratus, serta bangunan ketiga sebuah kedai dan tiga pintu bilik sewa terbakar 65 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohamad Faiz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.53 pagi sebelum 49 anggota dari BBP Larkin, Tebrau, Johor Jaya dan Kempas digegaskan ke lokasi.

"Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.25 pagi," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut merupakan warga asing.

- BERNAMA