AGENDA

Peranan negeri wajar diperkasa, dukung prinsip federalisme lebih saksama

13 Sep 2023, 9:53 AM
Peranan negeri wajar diperkasa, dukung prinsip federalisme lebih saksama

SHAH ALAM, 13 SEPT: Peranan Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan dalam pelbagai aspek seperti pengangkutan awam serta perkhidmatan sosial wajar diperkasa ke arah mendukung prinsip federalisme lebih saksama.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi memastikan wujudnya aliran pendapatan baharu supaya negeri-negeri tidak bergantung sepenuhnya kepada proses perolehan tanah.

“Secara asasnya sudah tiba masanya untuk peranan Negeri dan kerajaan tempatan diperkasakan misalnya dalam aspek pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan kesihatan awam.

“(Aspek lain termasuk) pengagihan sebahagian cukai pendapatan serta cukai jalan yang boleh menjadi aliran pendapatan baharu agar negeri-negeri tidak bergantung sepenuhnya kepada proses perolehan tanah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya merujuk kepada jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan aspek yang dinyatakan adalah tertakluk di bawah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Antara isunya adalah berkenaan kesihatan awam atau perkhidmatan sosial (diuruskan negeri).

“Namun pendapatan percukaian dalam negara kita sebahagian besarnya diserahkan kepada kerajaan persekutuan dan kita (negeri) bergantung sepenuhnya kepada proses dan pendapatan tanah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.