ad
AGENDA

Sultan gesa ahli politik senior, veteran henti pecah belah rakyat

12 Sep 2023, 9:15 AM
Sultan gesa ahli politik senior, veteran henti pecah belah rakyat

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru semua pemimpin politik khasnya senior dan veteran supaya mengelak daripada memecahbelahkan rakyat di negara ini.

Sebaliknya, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pemimpin perlu menanam dan memupuk semangat perpaduan erat dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama demi kesejahteraan negara.

"Peliharalah negara kita dengan baik kerana inilah satu-satunya tanah tumpah darah kita yang perlu kita pertahankan kemakmuran dan kedaulatannya," titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda menegaskan Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja berperanan dalam memelihara hak kaum Melayu dan Islam selain menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain.

Baginda bertitah rakyat dan pemimpin politik juga tidak perlu bimbang berhubung pemeliharaan hak kaum masing-masing dan agama yang dianuti di negara ini.

"Ini kerana undang-undang negara khususnya Perlembagaan Persekutuan memperuntuk hak bagi semua kaum dan agama kepada setiap rakyat Malaysia.

"Manakala Raja-Raja Melayu berperanan memayungi dan menjamin semua hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sentiasa dipelihara," titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru polis mengambil tindakan proaktif dalam menyiasat individu yang membangkitkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"(Tindakan itu) supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama pada masa hadapan," tegas Baginda.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.