ad
AGENDA

Ahmad Terrirudin dilantik peguam negara mulai 6 September

1 Sep 2023, 7:43 AM
Ahmad Terrirudin dilantik peguam negara mulai 6 September

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik Peguam Negara berkuat kuasa 6 September ini, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam kenyataan hari ini, Mohd Zuki berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Terrirudin, 55, menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

Idrus yang sebelum ini merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.

Beliau kemudiannya dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 6 Mac 2022 untuk tempoh setahun lagi. Pada 3 Mac lalu, kontrak Idrus sebagai Peguam Negara disambung untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac.

Mohd Zuki dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada Idrus atas perkhidmatan sepanjang memegang jawatan Peguam Negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.