Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 26 OGOS: Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal melanda lima daerah di Selangor sehingga 12 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan daerah terlibat adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Cuaca sama turut dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan selain beberapa daerah di Pulau Pinang dan Perak.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.








