AGENSI

JER di tiga lokasi hari ini, peluang penduduk beli barangan dapur murah

26 Ogos 2023, 12:00 AM
JER di tiga lokasi hari ini, peluang penduduk beli barangan dapur murah

SHAH ALAM, 26 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke tiga lagi lokasi pagi ini.

Program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu dijadual berlangsung di Masjid Kampung Batu Tiga, Bangi dan Dewan MBSA Pulai, Seksyen 27, Shah Alam.

Jualan sama turut diadakan di Laman Ternakan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang sempena Hari Veterinar dan Hari Kebajikan Haiwan 2023.

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS