ad
AGENDA

Masni Mat Dong wanita pertama Orang Asli terima Geran Anugerah Merdeka

25 Ogos 2023, 3:09 PM
Masni Mat Dong wanita pertama Orang Asli terima Geran Anugerah Merdeka
Masni Mat Dong wanita pertama Orang Asli terima Geran Anugerah Merdeka
Masni Mat Dong wanita pertama Orang Asli terima Geran Anugerah Merdeka

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pensyarah Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Pahang menjadi wanita Orang Asli pertama di negara ini menerima Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa.

Berasal dari suku Jakun, Masni Mat Dong merupakan salah seorang daripada lima anak muda Malaysia yang menerima anugerah tersebut daripada Sultan Perak dan Penaung Diraja Amanah Anugerah Merdeka, Sultan Nazrin Shah dalam satu majlis di sini hari ini.

Wanita berusia 33 tahun itu, diberikan anugerah itu untuk cadangan penyelidikannya mengenai Reimagining Inclusive Development: A Spatial Justice and Multidimensional Poverty Perspective on the Orang Asli in Malaysia, yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan Orang Asli di Malaysia.

[caption id="attachment_599825" align="aligncenter" width="726"] Pensyarah Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman Masni Mat Dong bercakap pada sesi soal jawab semasa Majlis Merdeka Award untuk Penempatan Antarabangsa 2023 di Menara Berkembar Petronas pada 25 Ogos 2023. Foto Bernama[/caption]

“Disebabkan lokasi kami yang terpencil, masyarakat Orang Asli telah menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran, seperti pemindahan komuniti dan kehilangan warisan budaya mereka.

“Dengan geran yang diterima, saya ingin menjalani penempatan saya di Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI), Universiti Oxford, England, dengan tujuan mengkaji ketidakadilan spatial dan kemiskinan pelbagai dimensi Orang Asli,” katanya.

Berasal dari Kampung Sungai Soi di Kuantan, beliau juga berharap pencapaiannya akan menggalakkan dan memperkasakan Orang Asli, untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan menerusi pendekatan penyertaan dan inklusif yang mengiktiraf budaya, sejarah dan nilai.

Pertama kali diperkenalkan pada 2012, Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa bertujuan untuk memupuk belia Malaysia, dan membantu mereka dalam perjalanan mencapai kecemerlangan mereka dengan membiayai penempatan penerima ke institusi atau organisasi antarabangsa dalam disiplin terpilih (pendidikan, seni, sukan, kerja komuniti/sosial, alam sekitar, kesihatan, sains dan teknologi).

Sehingga kini, seramai 29 penerima telah menerima geran itu dan penempatan mereka di 30 institusi pengajian tinggi di sembilan negara.

Selain Masni, penerima lain tahun ini termasuklah pelajar PhD sepenuh masa Syaza Soraya Sauli; Amaziasizamoria Jumail, seorang pegawai penyelidikan di Danau Girang Field Centre (DGFC) di Sabah; Dr Ng Chuck Chuan, seorang pembantu profesor di Xiamen University Malaysia; dan Dr Kong Xin Ying, seorang felow pascakedoktoran di universiti Teknikal Nanyang.

[caption id="attachment_599826" align="aligncenter" width="713"] Penerima anugerah (dari kiri) Penolong Profesor Universiti Xiamen Malaysia Dr Ng Chuck Chuan, Pegawai Penyelidik, Pusat Lapangan Danau Girang Amaziasizamoria Jumail, Calon PhD Universiti Teknologi Malaysia Syaza Soraya Sauli, Pensyarah Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman Masni Mat Dong dan Felow Pasca-Kedoktoran Universiti Teknologi Nanyang Dr Kong Xin Ying pada Majlis Merdeka Award untuk Penempatan Antarabangsa 2023 di Menara Berkembar Petronas pada 25 Ogos 2023. Foto Bernama[/caption]

Sementara itu, bagi Amaziasizamoria, 33, yang kini sedang mengusahakan projek Regrow Borneo di dataran banjir Kinabatangan, bercadang untuk menjalani penempatannya di Universidad Autónoma del Estado de Morelos (UAEM), Mexico, di mana dia akan mempelajari Tropical Forest Restoration Ecology within a Global South Context.

“Di Sabah, dataran banjir Kinabatangan merupakan habitat penting untuk biodiversiti dan menawarkan keadaan yang sesuai untuk penyerapan karbon. Malangnya, 80 peratus daripada kawasan hutan telah ditukar untuk kegunaan lain. Inilah sebabnya kami menubuhkan projek Regrow Borneo di dataran banjir Kinabatangan pada 2019, untuk mengurangkan kadar karbon dengan penanaman semula pokok.

“Usaha penghutanan semula sebegini juga penting ke arah meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, serta mempertingkatkan biodiversiti dan daya tahan ekosistem. Bagaimanapun, walaupun banyak usaha pemulihan hutan telah dilaksanakan di Malaysia, sehingga kini masih belum ada penilaian berskala besar mengenai kesan pemulihan hutan,” katanya.

Oleh itu, dengan penempatannya di UAEM, beliau berhasrat untuk mengkaji penunjuk yang sesuai untuk usaha penghutanan semula seperti struktur hutan, fungsi ekologi dan biodiversiti, sebagai kaedah yang boleh dilaksanakan untuk menilai hasil pemulihan hutan yang berkesan.

“Memandangkan Malaysia dan Mexico merupakan kawasan hotspot biodiversiti yang menghadapi cabaran sama dari segi penebangan hutan, perubahan iklim dan impak sosioekonomi, penempatan ini akan membolehkan saya bekerja dengan pasukan penyelidik terkenal dunia dan belajar daripada model sedia ada, yang boleh digunakan sebagai garis panduan untuk hutan hujan Borneo,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.