SHAH ALAM, 25 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri.
Keberangkatan Baginda diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada jam 12.15 tengah hari yang kemudiannya menunaikan solat Jumaat.
Baginda disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama EXCO Agama Dr Fahmi Ngah, EXCO Usahawan Najwan Halimi dan EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail.
[caption id="attachment_599761" align="alignnone" width="746"]
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Selangor serta solat Jumaat. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar dan Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.
Bacaan Yasin dipimpin Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir manakala Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya membacakan khutbah bertajuk ‘Memaknai Erti Sebuah Kemerdekaan’ selain mengimamkan solat.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8 malam 30 Ogos.
Sambutan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan artis terkenal Dato’ Awie dan Ziana Zain, perarakan dan perbarisan, persembahan kebudayaan, anggota beruniform serta pertunjukan T-Baton serta bunga api.


