AGENSI

Kota Damansara, Semenyih antara lokasi jualan murah esok

20 Ogos 2023, 2:30 PM
Kota Damansara, Semenyih antara lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 20 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan di tiga lagi lokasi esok, bermula jam 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di tapak padang bola keranjang Kampung Baru Semenyih dan Dewan komuniti Taman Putra Perdana, Dengkil.

Selain itu, jualan anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama persekutuan itu turut diadakan di Blok C dan D PPR Kota Damansara.

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Barangan asas dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.