ad
AGENDA

Lebih 80,000 belia umur 15 hingga 30 tahun sertai Rakan Muda

19 Ogos 2023, 4:50 AM
Lebih 80,000 belia umur 15 hingga 30 tahun sertai Rakan Muda

PETALING JAYA, 19 OGOS: Inisiatif Rakan Muda yang diberikan nafas baharu sejak Jun lepas, menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 80,000 belia berusia 15 hingga 30 tahun setakat hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang turut menyeru kesemua belia untuk menyertai program Rakan Muda dengan mendaftar melalui portal Kementerian Belia dan Sukan (KBS) https://www.kbs.gov.my/rakanmuda.html atau e-mel kepada [email protected].

"Kalau dulu program Rakan Muda di peringkat sekolah sahaja, tetapi sekarang kita buat terbuka untuk mereka berusia 15 hingga 30 tahun bermaksud di luar sekolah juga, dan penyertaan berbentuk pilihan, setiap daerah dan negeri mempunyai program dan aktiviti yang berbeza.

"Hari ini saya datang untuk pelancaran Rakan Muda negeri Selangor … mereka telah aktifkan Rakan Muda dengan pusatnya di Kompleks Rakan Muda Petaling Jaya," katanya pada program Jelajah Mini Rakan Muda peringkat Selangor di sini hari ini.

Program Rakan Muda dilancarkan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 25 Jun lepas.

Sepuluh gaya hidup baharu diperkenalkan menerusi inisiatif itu dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda melibatkan Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Hannah sebelum ini menyasarkan penyertaan sejuta belia berusia 15 hingga 30 tahun bagi menyertai program Rakan Muda berkenaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.