SHAH ALAM, 19 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di daerah Sabak Bernam, Selangor hingga 12 tengah hari.
Agensi tersebut meramalkan cuaca sama melanda Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak serta Batu Pahat di Johor.
Menurut Metmalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.









