ad
ADN

Wakil rakyat Banting fokus isu banjir, majukan sektor perindustrian

19 Ogos 2023, 1:40 AM
Wakil rakyat Banting fokus isu banjir, majukan sektor perindustrian

SHAH ALAM, 19 OGOS: Wakil rakyat Banting mahu memberi perhatian khusus terhadap isu banjir yang kerap melanda beberapa kawasan daerah itu.

V Papparaidu mengenal pasti Jarom Mas dan Jenjarom termasuk pusat komersial berhampiran menjadi lokasi titik panas banjir setiap kali hujan lebat walau untuk tempoh sejam sehingga menjejaskan kira-kira 2,000 keluarga.

“Saya melawat rumah-rumah penduduk terjejas dan banjir memang berlaku. Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan saya akan ambil langkah mengatasinya.

“Kita juga bimbang jika banjir berlaku di pusat komersial akan menjejaskan perniagaan. Kita kena bantu sebab mereka adalah nadi pembangunan Banting,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, wakil rakyat Balakong tekad memajukan sektor perindustrian di kawasan itu supaya lebih ramai penduduk mendapat peluang pekerjaan.

Ong Chun Wei memaklumkan perbincangan dengan pemain industri akan dibuat bagi mencapai hasrat itu mengambil kira permintaan tenaga kerja dalam sektor berkenaan tinggi.

“Sekiranya kita berjaya menjadikan industri ini sebagai hab ekonomi, sudah tentu banyak peluang kerja boleh ditawarkan kepada penduduk tempatan khususnya.

“Kita akan jadi perantara pemain industri dan Kerajaan Negeri serta pemain industri dan penduduk untuk memajukan sektor ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.