SHAH ALAM, 18 OGOS: Laluan di Persiaran Elmina, Seksyen U16 yang ditutup susulan nahas pesawat yang mengorbankan 10 nyawa dibuka bermula jam 3 petang ini.
Timbalan Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Samsol Maarif Saibani berkata proses pembersihan yang dilaksana bersama beberapa agensi sudah selesai sepenuhnya.
“Kerja mencuci sisa minyak di kedua-dua arah sudah selesai. Jadi polis beri kebenaran untuk jalan ini dibuka kepada orang awam bermula 3 petang.
[caption id="attachment_598510" align="aligncenter" width="728"]
Timbalan Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Samsol Maarif Saibani bercakap kepada media selepas meninjau operasi pembersihan serpihan pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Sungai Buloh, Shah Alam pada 18 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Bangkai kapal terbang dan kereta masih di lokasi kejadian jadi pihak polis akan membuat kawalan 24 jam di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Samsol Maarif menambah, bangkai pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dan kereta akan dialihkan Isnin ini selepas selesai semua siasatan.
Menurutnya, 63 anggota bomba dari Balai Bomba Kota Anggerik, Sungai Buloh dan Shah Alam dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melaksana kerja pembersihan.
“Kerja pembersihan turut melibatkan agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dan pihak polis,” katanya.
Semalam, 10 individu disahkan maut dalam nahas pesawat eksekutif milik syarikat Jetvalet termasuk EXCO Pahang Datuk Seri Johari Harun.
[caption id="attachment_598512" align="aligncenter" width="773"]
Pihak berkuasa menutup kawasan pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Sungai Buloh, Shah Alam pada 18 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.


