AGENDA

PM: Peruntukan bangunkan Kelantan lebih tinggi bawah Kerajaan Perpaduan

10 Ogos 2023, 5:21 AM
PM: Peruntukan bangunkan Kelantan lebih tinggi bawah Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Kelantan menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Perpaduan bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri itu termasuk tebatan banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan dana disalur juga lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu, sekali gus menafikan dakwaan Kelantan masih menjadi negeri termiskin berikutan dianaktiri pimpinan ketika ini.

“Saya dah bagitahu peruntukan ke Kelantan paling tinggi, malah peruntukan diberikan Kerajaan Perpaduan lebih banyak (berbanding) Pas dan Bersatu. Kita bantu tebatan banjir, air bersih dan pembangunan negeri.

“Semasa mereka jadi kerajaan, sibuk soal lain. Jadi bagaimana dia (Ahli Parlimen Bachok) kata (Kelantan) dianak tirikan?Itu pandangan tak ikut fakta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Meja Bulat Asia Pasifik ke-36 (APR) di Hilton Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam Mohd Shahir Che Sulaiman pada sesi Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia memberi alasan negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih termiskin kerana dianaktirikan kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa punca utama kerana isu 'federalisme' dengan beberapa hak negeri itu dinafikan termasuk royalti perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Dalam pada itu, Anwar berkata sebagai pemimpin muda, Mohd Shahir seharusnya lebih berani memberi cadangan untuk membangunkan negeri itu dan bukan membangkitkan masalah.

“Sepatutnya pemimpin muda kena lebih berani membetulkan masalah di samping berikan cadangan. Semua cadangan penting (untuk pembangunan negeri),” katanya lagi.