OLEH AZIAN AZIZ
GOMBAK, 9 OGOS: Misi Perikatan Nasional (PN) untuk menang di Selangor dengan tujuan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato' Seri Amirudin Shari berkata PN sepatutnya mendahulukan kebajikan rakyat dan bukan hanya mementingkan politik semata-mata.
"Dalam kempen Perikatan (Perikatan Nasional) dia kata menang Selangor dia akan jatuhkan Kerajaan Persekutuan nak buat apa? (sepatutnya) nak menang Selangor bagi kebajikan kepada rakyat Selangor, jaga orang Selangor, jaga kehidupan rakyat Selangor. Ini dia menang Selangor dia nak jatuhkan Kerajaan Persekutuan.
"Saya rasa ini tidak baik untuk kita (rakyat Selangor) untuk lima tahun,10 tahun akan datang," kata beliau.
Calon HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata demikian dalam ceramah kelompok di Pangsapuri Selayang Sejati, Selayang semalam.
Hadir sama dalam ceramah tersebut ialah calon Taman Templer Anfaal Saari.
Sehubungan itu Amirudin yang juga Dato' Menteri Besar menyeru rakyat Selangor agar memilih gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) yang akan membawa kemajuan dan menjamin kesinambungan kejayaan dan kestabilan negeri dan negara.
"Sebab apa... sebab kita tak akan tukar Menteri Besar, tak akan tukar menteri dan Perdana Menteri dah.
"Ini lepas 12 bulan, 13 bulan tukar perdana menteri sehingga satu benda pun tak boleh buat sebab asyik bertukar-tukar," katanya.