AGENDA

425 warga asing ditahan, jadikan pangsapuri seperti perkampungan

5 Ogos 2023, 3:04 AM
425 warga asing ditahan, jadikan pangsapuri seperti perkampungan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen (JIM) termasuk bersembunyi di dalam tong sampah dan almari, tidak berhasil apabila ditahan dalam operasi di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Cheras awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Bahrin Mohshin berkata serbuan dilakukan hasil siasatan dan risikan selama dua minggu susulan aduan orang awam yang mengatakan jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

“Dalam operasi yang dijalankan 60 pegawai dan anggota JIM bermula dari 1 hingga 4 pagi, 425 pendatang tanpa izin ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa atau tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara selain pemegang kad tidak diiktiraf.

“Mereka yang ditahan iaitu 372 lelaki dan 53 wanita terdiri warga Bangladesh 252 orang, Myanmar (108), Filipina (dua), Indonesia (30), Kemboja (enam), Nepal (20) dan tujuh warga Pakistan yang berusia antara lapan hingga 54 tahun,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya, siasatan mendapati warga asing yang ditahan itu bekerja dalam pelbagai bidang termasuk sektor pembinaan dan pembersihan.

Beliau berkata ketika operasi ada dalam kalangan warga asing berkenaan turut bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek termasuk botol bagi mengelak diri ditahan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Syamsul Bahrin berkata selain daripada yang ditahan, terdapat juga warga asing yang tinggal di kawasan itu adalah dalam kalangan pelarian Rohingya yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka mempunyai pas kerja sah.

"Untuk warga Myanmar, mereka mempunyai kad berdasarkan persatuan atau etnik mereka, namun kad berkenaan tidak sah digunakan dan tidak diiktiraf (dalam negara).

“Mereka yang hanya ada kad tersebut sebagai pengenalan diri, imigresen akan tahan mereka," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

- BERNAMA