ad
AGENDA

Kawasan padat punca Kajang rekod kutipan sampah tertinggi

27 Jul 2023, 11:35 AM
Kawasan padat punca Kajang rekod kutipan sampah tertinggi

KAJANG, 27 JULAI: Kajang merekodkan jumlah kutipan sisa pepejal tertinggi di negeri ini dengan purata antara 900 hingga 1,000 tan sehari, maklum KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusannya Dato' Ramli Mohd Tahir berkata jumlah itu menyebabkan petugas berdepan cabaran getir setiap kali menjalankan pembersihan awam di kawasan terbabit.

“KDEBWM hadapi cabaran kerana kawasan itu padat dan besar. Antara 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, Kajang paling padat, jadi sampah akan banyak,” katanya di sini.

Beliau ditemui pada jamuan makan tengahari bersama kira-kira 70 pekerja KDEBWM di Restoran De’Rumbia Ikan Bakar hari ini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Ramli berharap isu kutipan sampah tidak dipolitikkan sepanjang tempoh pilihan raya negeri bermula 29 Julai supaya tidak menyinggung hati kakitangannya.

“Tolong jangan politikkan isu pengurusan sampah. Ini tanggungjawab kami. Kami bekerjasama baik dengan ramai pihak. Kasihan kepada pekerja kami yang jujur bekerja,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pemilik akaun Twitter memuat naik video mengenai lambakan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat yang didakwa tidak diuruskan dengan baik.

Kakitangan KDEBWM kemudian memuat naik video di media sosial dan mempertahan tatacara operasi piawai (SOP) jadual kutipan sampah yang dilaksanakan agensi itu di kampung berkenaan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.