AGENDA

PM bangga pasukan Olimpiad Fizik, Matematik negara menang pingat di Jepun

19 Jul 2023, 5:11 AM
PM bangga pasukan Olimpiad Fizik, Matematik negara menang pingat di Jepun

SHAH ALAM, 19 JULAI: Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada pasukan Olimpiad Fizik Malaysia dan Olimpiad Matematik Malaysia yang mengharumkan nama negara dengan menghadiahkan pingat menerusi dua pertandingan di Jepun baru-baru ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitter bangga dengan kejayaan pasukan Olimpiad Fizik Malaysia yang berjaya memenangi satu pingat perak dan dua gangsa pada Pertandingan Olimpiad Fizik Antarabangsa 2023 di Tokyo.

"Ucapan tahniah juga kepada pasukan Olimpiad Matematik Malaysia yang beroleh kejayaan memenangi satu pingat emas, tiga gangsa dan dua honourable mention (penghormatan) di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa juga di Jepun.

"Semoga lebih banyak kejayaan cemerlang dapat dicapai pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, menerusi Pertandingan Olimpiad Fizik Antarabangsa 2023 yang diadakan dari 9 hingga 17 Julai lima pelajar mewakili Malaysia iaitu Ong Zhi Zheng , Chang Kian Yau, Mohammad Syakir Fahmie Sofyan, Phuah Jun Xi dan Wong Jian Bin.

Manakala bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2023 yang berlangsung di Chiba, Jepun pada 6 hingga 13 Julai, Malaysia diwakili Tan Min Heng, Leia Mayssa, Wing Jer Ren, Goh Wei Jie, Chuah Jia Herng dan Loh Kwong Weng.