AGENSI

Dua lokasi di Selayang antara tapak jualan murah PKPS esok

15 Jul 2023, 2:00 PM
Dua lokasi di Selayang antara tapak jualan murah PKPS esok
Dua lokasi di Selayang antara tapak jualan murah PKPS esok

Oleh JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 15 JULAI: Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke sembilan lokasi esok mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di dua kawasan Parlimen Selayang iaitu di Medan Selera Tasik Biru dan MPKK Kampung Tanjung selain Taman Impian Ehsan (Parlimen Bangi), IPD Subang Jaya (Parlimen Subang).

Turut diadakan di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang (Parlimen Sungai Buloh), Padang JMB Blok 1-7 Seksyen 7 (Parlimen Shah Alam), Pejabat DUN Bandar Baru Klang (Parlimen Klang), Medan Selera Teratai (Parlimen Pandan) dan Kampung Sungai Udang (Parlimen Kapar).

Produk dijual meliputi ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, PKPS bakal menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga hujung tahun ini berikutan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS