ad
AGENDA

Menteri: Naik taraf MPK ke status bandar raya kini di peringkat akhir

15 Jul 2023, 12:43 AM
Menteri: Naik taraf MPK ke status bandar raya kini di peringkat akhir
Menteri: Naik taraf MPK ke status bandar raya kini di peringkat akhir

KLANG, 15 JULAI: Penukaran status Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya kini dalam proses akhir penelitian kementerian pembangunan kerajaan tempatan, kata menterinya.

Nga Kor Ming berkata pihaknya melakukan penelitian pelbagai aspek antaranya pendapatan pihak berkuasa tempatan, penduduk dan kegiatan ekonomi.

“Kementerian menerima permohonan daripada MPK untuk menaik taraf menjadi bandar raya dan kini sedang dalam proses akhir penelitian.

“Penelitian ini tidak lama dan kita akan datang lagi dalam masa terdekat dan bawa berita baik. Buat masa ini, kita tunggu penelitian dan masa sesuai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pulau Ketam, Pelabuhan Klang semalam.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan terdapat sembilan bandar dimasyhur sebagai bandar diraja termasuk Bandar Diraja Klang.

[caption id="attachment_592957" align="aligncenter" width="820"] Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han beramah mesra bersama peniaga ketika program lawatan kerja Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Selangor di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Klang pada 14 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“KPKT dibawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mempunyai Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja yang diluluskan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mei lalu.

“Ia bertujuan untuk memelihara identiti bandar diraja sebagai lambang kedaulatan negara di samping meningkatkan potensi sebagai set pelancongan negara melalui pemerkasaan ekonomi dan budaya setempat.

“Dokumen ini dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 dan dijadikan panduan utama kepada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal dalam merancang serta mengawal pembangunan di kawasan bandar diraja atau kawasan sekitar Istana Diraja,” katanya.

Selain Bandar Diraja Klang, bandar lain dimasyhur bandar diraja ialah Bandar Diraja Arau, Perlis; Bandar Diraja Anak Bukit, Kedah; Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dan Bandar Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Turut dimasyhur Bandar Maharani Bandar Diraja Muar, Johor; Bandar D'Raja Al-Muhammadi Kubang Kerian, Kelantan; Bandar Diraja Kuala Terengganu, Terengganu dan Bandar Diraja Pekan, Pahang.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan memaklumkan pihaknya menumpukan usaha menaik taraf prasarana di kawasan pentadbirannya sebagai persiapan mencapai status bandar raya November ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.