AGENSI

Dua lokasi di Shah Alam antara tapak jualan murah PKPS esok

14 Jul 2023, 1:00 PM
Dua lokasi di Shah Alam antara tapak jualan murah PKPS esok
Dua lokasi di Shah Alam antara tapak jualan murah PKPS esok

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan lagi ke sembilan lokasi esok mulai 10 pagi.

Kawasan terlibat tapak pasar malam Padang Jawa dan Jalan Platinum F/7 berhampiran Al-Rawsha di Parlimen Shah Alam selain di Jalan Permai H (Parlimen Pandan) dan Dewan Serbaguna Seksyen 7 (Parlimen Sungai Buloh).

Jualan Ehsan Rahmah (JER) turut diadakan di Dewan Serbaguna MBSJ, Bdr Bukit Puchong (Parlimen Puchong) dan Dewan Terbuka Kg Ujong Permatang (Parlimen Tanjong Karang).

Selain itu, Dewan Bola Keranjang (Parlimen Selayang), Dataran Balai MPKK Bukit Bangkong (Parlimen Sepang), dan Surau Raudhah Al-Muttqin (Parlimen Kapar).

Produk dijual meliputi ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, PKPS bakal menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga hujung tahun ini berikutan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS