AGENDA

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor selamat tiba dari tanah suci

4 Jul 2023, 3:22 AM
Sultan, Tengku Permaisuri Selangor selamat tiba dari tanah suci
Sultan, Tengku Permaisuri Selangor selamat tiba dari tanah suci

SHAH ALAM, 4 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.

Pesawat khas membawa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin tiba di

Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Baginda berdua yang turut diiringi Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir dan Imam Masjid Negeri Abdul Karim Maaseng Al-Makki berangkat ke tanah suci pada 20 Jun lalu.

[caption id="attachment_590792" align="aligncenter" width="753"] Keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kanan) dari tanah suci disambut Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 Julai 2023. Foto Twitter Amirudin Shari[/caption]

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari serta isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sementara itu, menerusi Twitter, Amirudin merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan pulang Baginda berdua bersama delegasi dari menunaikan rukun Islam kelima.

"Syukur alhamdulillah DYMM Tuanku berdua sihat walafiat serta diberikan kelapangan menunaikan rukun kelima umat Islam. Patik dan sekalian rakyat amat gembira dan bersyukur melihat rombongan DYMM Tuanku selamat tiba di Selangor.

"Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik, keafiatan dan keselamatan buat DYMM Sultan Selangor terus bersemayam di singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan, dan kesejahteraan jua," tulisnya.