AGENDA

Gembira, syukur berpeluang sambut Aidiladha bersama keluarga

29 Jun 2023, 1:39 AM
Gembira, syukur berpeluang sambut Aidiladha bersama keluarga

POKOK SENA, 29 JUN: Penghuni Penjara Pokok Sena yang dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) menyifatkan ia sebagai peluang kedua kerana membolehkan mereka menyambut Aidiladha bersama keluarga.

Penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Aidil, 29, berkata pembebasan bersyarat itu memberi peluang kepadanya untuk beraya dengan isteri dan anak lelakinya yang berusia empat tahun setelah meringkuk di dalam penjara atas kesalahan dadah sejak April lalu.

"Sepatutnya tarikh sebenar saya bebas ialah 23 Julai. Saya gembira dan bersyukur dapat bersama isteri dan anak merayakan Aidiladha... ini merupakan kali pertama saya berada di dalam penjara… saya serah diri kepada pihak polis," katanya di sini semalam.

Appy, 40, yang sepatutnya dibebaskan pada 18 Julai turut bersyukur kerana berpeluang menyambut raya haji bersama keluarga dan bertekad untuk berubah serta bekerja untuk menyara anak lelaki dan perempuannya yang masing-masing berusia 13 dan lapan tahun.

"Saya berharap dapat bekerja untuk teruskan hidup dan berjanji tidak mengulangi perkara lepas serta mencari masa depan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Kedah Timbalan Komisioner Abdul Kadir Jailani Ismail berkata 19 penghuni Penjara Pokok Sena terlibat dalam pembebasan bersyarat itu.

"Pihak penjara memilih banduan yang memenuhi syarat serta kelayakan untuk menjalani kehidupan di luar dengan pemantauan kami dan telah mendapatkan majikan untuk mereka bekerja apabila dibebaskan," katanya.

- BERNAMA