ad
AGENDA

Polis laksana Op Lancar sempena Aidiladha mulai esok, pastikan trafik bergerak baik

27 Jun 2023, 3:10 PM
Polis laksana Op Lancar sempena Aidiladha mulai esok, pastikan trafik bergerak baik

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar bermula esok hingga 2 Julai sempena perayaan Hari Raya Aidiladha.

JSPT dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi berkenaan adalah bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara.

"Op Lancar ini berperanan dalam memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.

"Selain itu, persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan berlaku kesesakan (hotspot) yang melampau turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas," menurut kenyataan itu.

JSPT memberikan peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.