Oleh FHATIHAH ZAKINAN
SHAH ALAM, 24 JUN : Agensi pelancongan negeri menawarkan geran projek bernilai RM10,000 kepada setiap 15 pemenang Pertandingan Pitching Tourism Selangor.
Menurut Tourism Selangor, kesemua pemenang turut berpeluang mengambil bahagian dalam Festival Reka Bentuk dan Kraf Selangor (TUKANG).
Agensi itu berkata, pertandingan yang memasuki tahuh ketiga terbuka kepada pemain industri pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, universiti tempatan, dan syarikat swasta.
"Tema pertandingan tahun ini adalah Pelancongan Mampan merangkumi 17 agenda pembangunan mampan antaranya termasuklah sifar kemiskinan, sifar kelaparan, gaya hidup sihat dan kualiti pendidikan.
"Selain itu ia turut merangkumi agenda kesaksamaan jantina, air bersih, sumber tenaga bersih dan mampu milik, pelan tindakan cuaca, komuniti bandar mampan, pekerjaan dan perkembangan ekonomi," katanya di Facebook.
Tourism Selangor berkata pendaftaran boleh dilakukan atas talian menerusi pautan forms.gle/Mjp9fnG944wcc6vi9 dan tarikh akhir terima kertas kerja pada 2 Julai.
"Marilah lakukan satu perubahan baharu lebih menarik melalui pembentangan kertas cadangan, di samping mempromosi sektor pelancongan tempatan dan produk antarabangsa di Selangor," menurut agensi itu.
Tahun lalu, sepuluh pemenang diberikan geran projek sebanyak 100,000 dengan tema Pelancongan dan Industri Kreatif yang memfokuskan kepada Warisan, Seni, Media dan Reka Bentuk dengan matlamat menjadikan negeri Selangor sebagai hab industri kreatif.


