AGENDA

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor berangkat tunai haji esok

19 Jun 2023, 5:13 AM
Sultan, Tengku Permaisuri Selangor berangkat tunai haji esok

KLANG, 19 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor berangkat menunaikan ibadah haji bermula esok hingga 4 Julai.

Berikutan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap semua Ahli Dewan Diraja mendoakan urusan Baginda bersama Tengku Permaisuri Norashikin dipermudah dan mendapat haji mabrur.

Baginda turut memaklumkan keberangkatan ke London pada 28 Julai untuk menjalani rawatan dan pembedahan penyakit berkaitan prostat (Holmium Laser Enucleation of the Prostate) yang dihadapi.

“Beta jangka akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos. Sekiranya kesihatan Beta mengizinkan, Beta akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh berkenaan.

“Beta juga berharap Ahli Dewan Diraja dan semua yang hadir ini dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Beta ketika menjalani rawatan

“Beta mahu kembali sembuh seperti sediakala bagi menjalankan tugas sebagai raja pemerintah dan ketua agama Islam di Selangor,” titah Baginda sempena istiadat pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Sultan Selangor berkenan membubarkan DNS bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri setelah menerima menghadap Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pagi ini.

Turut berangkat ke majlis itu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Speaker DNS Ng Suee Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.