ad
AGENDA

PRN: 95 peratus pembahagian kerusi Selangor selesai

11 Jun 2023, 9:19 AM
PRN: 95 peratus pembahagian kerusi Selangor selesai

GOMBAK, 11 JUN: Proses pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Selangor sudah 95 peratus selesai.

Pengerusi HARAPAN Selangor berkata HARAPAN dan BN Selangor sudah selesai berunding dan menyepakati agihan 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Perkembangan terkini saya hanya (dijangka) boleh umumkan pada Khamis atau Jumaat ini (itu pun) jika saya dibenarkan untuk mengumumkannya.

“Tapi saya fikir pimpinan parti atau pimpinan utama (HARAPAN dan BN) perlu memuktamadkan kerana saya bukan dalam posisi untuk memuktamadkan.

“Paling tidak 95 peratus cukup bagus, cuma tiga saja daripada 56 (DUN). Jadi saya fikir ia perkembangan besar dalam tempoh satu atau dua bulan perbincangan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berkata tiga lagi agihan kerusi itu masih belum selesai berikutan pertindihan permintaan antara HARAPAN dan BN.

“Apa yang berlaku ialah Pakatan Harapan dan BN menyelesaikan sesama keluarga mereka sendiri dan kemudian membawakannya kepada perundingan.

“Tujuan kita adalah satu lawan satu dan cuba untuk mengumpulkan dan menggabungkan kekuatan dan juga kelebihan masing-masing ke arah kemenangan kumpulan perpaduan ini.

“(Perbincangan peringkat) negeri sudah selesai dan ini (tiga lagi kerusi) adalah perbincangan di peringkat pusat. Jadi yang sudah selesai (53 kerusi) kita sudah boleh bekerja dan boleh gerakkan jentera (untuk menghadapi PRN) ,” katanya.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.