ad
AGENDA

Kanak-kanak tahan sakit 20 minit, punggung tercucuk besi pagar rumah

5 Jun 2023, 3:29 PM
Kanak-kanak tahan sakit 20 minit, punggung tercucuk besi pagar rumah

SHAH ALAM, 5 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila punggungnya tercucuk besi pagar sedalam 15 sentimeter di kediaman keluarganya di Taman Seri, Sungai Besar, Sabak Bernam, petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.25 petang.

“Seramai 10 anggota bomba termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar ke lokasi. Setibanya di tempat kejadian, kanak-kanak itu masih berada di pagar besi rumah berkenaan.

“Anggota bomba segera bertindak mengangkat kanak-kanak berkenaan sebelum dibawa ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Md Razali, ketika kejadian ibu mangsa tiada di rumah dan kejadian itu hanya disedari jiran.

“Menurut jiran, mangsa sering dilihat bermain di atas pagar tersebut,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.