Oleh Azian Aziz
SHAH ALAM, 2 JUN: Acara bual bicara dan pelancaran buku antara kegiatan menarik di Pavilion Selangor dalam tiga hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.
Sesi perbincangan hari ini menampilkan wakil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menerangkan pelbagai inisiatif Selangor kepada orang ramai.
Buku Siasah Madani karya bekas menteri Dr Maszlee Malik dan isteri Dr Hamidah Mat pula dilancarkan pada jam 10 pagi esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree dan Pengerusi TV Al-Hijrah Mohd Khair Ngadiron pula membicarakan isu media pada 10.30 pagi hari berkenaan.
Pavilion itu merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu sempena pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan kepentingan orang ramai.
Ketua bahagian Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata penggiat seni Mior Hashim Manap, Imuda dan Sri Diah pula diundang untuk program Hati dan Minda Sasterawan.
Zafrullah Aris juga menjelaskan sesi lain di ialah belajar bahasa dalam talian, Language Discovery@Selangor Public Library dan bicara buku.
"Kita juga menampilkan penulis, pencerita dan ilustrator Nor Azhar Ishak atau Uncle Nai khas untuk golongan kanak-kanak," katanya sambil menambah acara tertakluk kepada perubahan.