SHAH ALAM, 1 JUN: Meski pun tidak pernah merasai pengalaman melahirkan zuriat sendiri, Phatma Zachariah tidak menduga menerima anugerah Ibu Mithali daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Berkongsi pengalaman, Phatma, 55, berkata beliau bersyukur diberi peluang menjaga dan membesarkan Sean Noah Zachariah sebagai anak angkat selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.
[caption id="attachment_584490" align="alignleft" width="383"]
Penerima anugerah Ibu Mithali, Phatma Zachariah[/caption]
"Ketika itu kami reda kerana saya tidak berpeluang melahirkan zuriat sendiri. Kami ambil Sean waktu itu dia berusia tiga tahun dan dia juga merupakan mangsa sindiket pemerdagangan kanak-kanak yang berjaya diselamatkan oleh sebuah pertubuhan.
"Pertama kali ambil dia saya rasa dia seperti anak kami sendiri dan ia adalah tanggungjawab besar yang tuhan berikan kepada kami untuk dijaga, dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang," katanya.
Suri rumah itu juga menasihati ibu bapa memiliki anak angkat agar menyayangi mereke sepenuh hati.
"Apabila kita diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu, tiada lagi istilah 'me time' kerana anak adalah anugerah yang tidak ternilai," katanya.
[caption id="attachment_584491" align="alignright" width="345"]
Penerima anugerah Ibu Ikon, Uni Sudah[/caption]
Sementara itu, ibu kepada tiga cahaya mata, Uni Sudah bersyukur apabila diberi pengiktirafan Ibu Ikon.
Beliau merupakan satu-satunya Tok Batin wanita komuniti Orang Asli di Hulu Langat disifatkan banyak membantu kebajikan dan menabur bakti kepada penduduk kampung.
Uni, 45, berkata pelbagai karenah penduduk dihadapinya tetapi berkat kesabaran dalam memikul amanah sebagai pemimpin di kawasan itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk membantu mereka.
“Kebiasaannya, jika tidak banyak aduan saya sendiri akan bertanya dari rumah ke rumah dengan menaiki motosikal sama ada mereka memerlukan bantuan, cara itu juga kita boleh tahu masalah mereka dari semasa ke semasa," katanya.
[caption id="attachment_584492" align="alignleft" width="345"]
Penerima anugerah Ibu Inovatif, R Rubavathi[/caption]
Berkongsi pengalaman membesarkan tiga anak, Uni berkata ia agak mencabar tetapi atas berkat kesabaran dan tanggungjawab beliau bersyukur anaknya membesar menjadi manusia berguna dan banyak membantu buat kerja kebajikan.
Manakala, R Rubavathi yang menerima anugerah Ibu Inovatif menyifatkan masih muda untuknya menerima pengiktirafan berkenaan.
Rubawathi, 32, yang kini hamil anak kedua merupakan seorang pengasas satu-satunya pusat jagaan berpantang selepas bersalin bagi masyarakat India sejak 2017.
"Selalunya yang buat jagaan pantang selepas bersalin wanita lebih berusia tetapi saya cabar diri saya bahawa wanita muda juga boleh ditambah dengan minat mendalam terhadap urutan bersalin.
"Syukur sekarang saya sudah memiliki pusat penjagaan berpantang sendiri di Semenyih termasuk 10 pekerja dan saya harap ia menjadi inspirasi buat ibu muda di luar sana jangan jadikan status ibu sebagai halangan untuk bekerjaya," ujarnya.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 10 penerima anugerah Tokoh Ibu Pekawanis pada sambutan Hari Ibu dan ulang tahun Ke-15 Pekawanis yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC di sini semalam.


