Oleh DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 19 MEI: Bagi meringankan beban penduduk kurang berkemampuan khususnya di Kota Damansara, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu merancang menambah jumlah program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).
Shatiri Mansor berkata pihaknya mahu menambah satu lagi program JER menjadikan penganjurannya tiga kali seminggu.
“Dalam usaha membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara ketika ini kita anjurkan jualan murah dua kali seminggu.
“Kita rancang untuk tambah satu lagi program jualan murah dengan sasaran tiga kali seminggu JER di kawasan ini,” katanya ditemui ketika meninjau program JER di Dewan Seksyen 7 Kota Damansara di sini semalam.
Terdahulu lebih 400 pengunjung hadir dan beratur seawal jam 8 pagi di program jualan murah yang bermula 10 pagi.
Shatiri berkata pihaknya mempelawa penduduk ke jualan berkenaan bagi mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan.
“Setiap program yang kita anjurkan mendapat sambutan kerana saya jemput sendiri penduduk menerusi WhatsApp bukan hanya promosi biasa.
“Ini antara cara supaya penduduk dekat dan mesra dengan saya walaupun saya memegang status wakil rakyat,” katanya memaklumkan program jualan murah itu sudah lebih 10 kali dianjurkan di DUN Kota Damansara.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga Mei ini.