Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 11 MEI: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda empat daerah di Selangor iaitu Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang sehingga 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama dijangka berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru turut diramal mengalami keadaan serupa.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata agensi itu.
MetMalaysia menasihatkan orang awam merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


