ad
AGENDA

Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan dunia - WHO

6 Mei 2023, 2:25 AM
Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan dunia - WHO

GENEVA, 6 MEI: Pandemik Covid-19 global tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan perkara itu di Geneva pada Jumaat selepas dunia dilanda pandemik sejak tiga tahun lalu.

Pandemik itu menyaksikan trend penurunan sejak setahun lalu, kata Tedros, merujuk kepada peningkatan imuniti melalui vaksinasi dan jangkitan.

Pengumuman itu tidak mempunyai kesan konkrit susulan setiap negara memutuskan sendiri langkah perlindungan yang akan dikenakan.

Tedros menegaskan bahawa Covid-19 akan terus kekal dalam masyarakat dunia, berbahaya dan masih boleh mencetuskan varian berbahaya pada bila-bila masa.

Namun begitu, WHO mengikuti saranan jawatankuasa pakar bebas kerana yakin dunia mempunyai mekanisme yang baik untuk melindungi manusia daripada virus itu.

Selain vaksin dan ubat-ubatan, ia termasuk langkah perlindungan seperti memakai pelitup muka atau menjaga jarak di ruang yang sesak dan kurang pengudaraan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.