ad
AGENDA

Varian baharu Covid-19 dikesan merebak di 22 negara – WHO

1 Jun 2025, 1:25 PM
Varian baharu Covid-19 dikesan merebak di 22 negara – WHO

SHAH ALAM, 1 JUN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini memantau kemunculan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai NB.1.8.1 yang telah dikesan merebak di beberapa benua termasuk Eropah, Asia Tenggara serta Amerika Utara dan Selatan.

Dalam kemas kini terbaharu pada 28 Mei, WHO memaklumkan varian yang berasal daripada keturunan Omicron JN.1 itu telah menular ke sekurang-kurangnya 22 negara.

"Varian ini dikategorikan sebagai varian yang sedang dipantau," lapor Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

Bagaimanapun, WHO menegaskan bahawa NB.1.8.1 tidak menunjukkan bukti menyebabkan penyakit yang lebih serius berbanding varian Covid-19 lain yang sedang beredar ketika ini.

Pakar penyakit berjangkit dari Vanderbilt University Medical Center, Profesor William Schaffner turut menyatakan bahawa tiada gejala khas dikesan bagi varian ini, malah corak simptom masih serupa dengan jangkitan sebelumnya.

Antara gejala biasa termasuk demam, menggigil, batuk, sakit tekak, keletihan, sesak nafas dan cirit-birit.

Pakar juga menjangkakan bahawa imuniti daripada vaksinasi serta jangkitan terdahulu masih mampu memberikan perlindungan terhadap varian ini.

Meskipun tidak dianggap sebagai ancaman besar ketika ini, WHO tetap mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan bagi membendung penularan jangkitan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.