ad
AGENDA

Lelaki maut dipanah petir ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

4 Mei 2023, 8:35 AM
Lelaki maut dipanah petir ketika dalam perjalanan ke tempat kerja
Lelaki maut dipanah petir ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

KUALA LANGAT, 4 MEI: Perjalanan pekerja kilang ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila mangsa maut dipanah petir dalam kejadian di Jalan Kampung Sri Cheeding, Sungai Jarom, Banting, Selangor kelmarin.

Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun itu menunggang sebuah motosikal ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 6.31 petang.

"Siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Bandar Mahkota, Banting.

[caption id="attachment_579674" align="aligncenter" width="749"]
Pekerja sebuah kilang maut dipanah petir ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dalam kejadian di Jalan Kampung Sri Cheeding, Sungai Jarom, Banting, Selangor pada 2 Mei 2023. Foto Facebook Polis Daerah Kuala Langat[/caption]

"Ketika mangsa melalui Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding, mangsa terkena panahan petir sebelum terjatuh," katanya, lapor mstar.

Katanya, orang awam yang melalui lokasi kejadian kemudian membantu mengangkat mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher kanan serta lebam di bahagian perut dan paha kesan panahan petir selain luka di dagu serta lutut akibat jatuh motosikal.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat dua lubang atas jalan kesan panahan petir.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.