ad
AGENDA

Pastikan tiada gangguan bekalan musim Aidilfitri, Air Selangor pantau keadaan

17 Apr 2023, 2:30 PM
Pastikan tiada gangguan bekalan musim Aidilfitri, Air Selangor pantau keadaan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan tidak berlaku sebarang gangguan bekalan air sepanjang musim Aidilfitri ini.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata sehubungan itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menempatkan petugasnya termasuk di lapangan bagi mengawasi keadaan.

“Untuk Aidilfitri nanti, kakitangan agensi tersebut akan bertugas seperti biasa malah akan turut bekerja lebih masa untuk pastikan keadaan terkawal.

"Bila semua berjalan lancar maka rakyat boleh beraya dengan baik,” kata Ir Izham Hashim.

Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup bengkel kajian semula pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang (2022-2030) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Izham memaklumkan paras air di sungai dan empangan di Selangor masih stabil walaupun negara sedang mengalami cuaca panas.

Menurutnya, tiada sebarang laporan berhubung penyusutan air di sungai dan empangan berikutan negeri ini masih menerima kadar hujan yang baik.

"Saya ingin mengingatkan bahawa sumber bekalan kita ini bukan sahaja daripada empangan, malah beberapa sungai turut menyalurkan air bersih.

"Jadi, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai perkara ini di sebalik musim panas yang melanda ketika ini," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.