AGENDA

Sabak Bernam, Kuala Langat dipilih pusat aktiviti setempat luar bandar

13 Apr 2023, 5:34 AM
Sabak Bernam, Kuala Langat dipilih pusat aktiviti setempat luar bandar

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Kerajaan Negeri mengenal pasti dua daerah di negeri ini bagi membangunkan pusat aktiviti setempat luar bandar dikenali Smart Desa Bistari.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah berkata dua daerah yang sudah dikenal pasti itu adalah Sabak Bernam dan Kuala Langat.

“Di bawah kerjasama dengan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) kita jalankan projek perintis untuk bangunkan Smart Desa Bistari di dua daerah iaitu Sabak Bernam dan Kuala Langat.

“Kita bangunkan semula kawasan balai raya atau bangunan terbiar untuk dijadikan Pusat Bistari bagi aktiviti setempat. Di sini kita akan adakan kelas tuisyen dan kelas komputer untuk aktiviti luar bandar.

“Ini adalah antara projek yang pertama kali diadakan di Selangor dan akan dirasmikan bulan depan,” katanya pada program siaran langsung Selamat Pagi Malaysia (SPM) Nadi Seri Pagi di TV1, hari ini.

Borhan berkata sekiranya berjaya PLANMalaysia bukan sahaja akan mengembangkan projek itu di Selangor namun mungkin diperluaskan ke seluruh negara.