AGENSI

LZS hulur sumbangan kepada lima keluarga asnaf, penghidap sakit kritikal

10 Apr 2023, 5:42 AM
LZS hulur sumbangan kepada lima keluarga asnaf, penghidap sakit kritikal

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 10 APRIL:  Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni dan menghulurkan sumbangan Ramadan kepada lima keluarga asnaf di sekitar kariah Masjid Kampung Delek, Klang, semalam.

Agensi itu menjelaskan rata-rata keluarga asnaf fakir dan miskin yang diziarahi menghidap penyakit kritikal turut menerima bantuan perubatan daripada pihaknya sehingga kini .

LZS berkata program Ziarah Kasih Ramadan itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan penolong amil kariah.

“Setiap rumah asnaf yang kami lawati, kami santuni  dan bertanya khabar ahli keluarga serta kongsikan sumbangan Ramadan.

“Alhamdulillah, kami berkesempatanberbuka bersama dengan keluarga asnaf kelima. Biarpun sederhana, tapi sungguh bermakna berbuka bersama mereka. MashaAllah, keluarga ini sambut ibarat kami keluarga rapat mereka,” maklumnya menerusi Facebook.

LZS berkata selain menahan diri daripada lapar dan dahaga semata, beramal dan menyantuni insan yang memerlukan juga merupakan ibadah yang sangat dituntut Islam ketika Ramadan.

Agensi itu turut menggalakkan umat Islam untuk terus berzakat di LZS kerana walaupun jumlahnya sedikit bagi pengeluar zakat namun memberi manfaat besar  buat insan memerlukan.