SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan Selangor merangka hala tuju baharu bagi memantapkan ekosistem pendidikan negeri ini selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penyusunan semula penting supaya pengurusan sektor tersebut lebih cekap, berkesan dan berdaya saing.
Beliau berkata usaha itu juga mampu menangani isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang kerja dan perniagaan selain memenuhi keperluan negeri serta negara pada masa depan.
“Kita mahu susun semula dan pastikan program pendidikan yang ditawarkan kepada rakyat benar-benar bermanfaat sekali gus sampai kepada hala tuju ditetapkan.
“Kedua, selepas bentang RS-1 ada beberapa fokus baharu. Mungkin pengisian pendidikan perlu ditambah baik,” katanya selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju dan Perancangan Strategik Pendidikan Selangor di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali dan Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhammad.
Amirudin menambah bengkel yang menghimpunkan 20 agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan berlangsung selama dua bulan hingga Mei bagi menyusun semula peranan pendidikan.
“Sudah pasti selepas ini ada penjurusan baharu (sektor pendidikan). Selepas Covid-19 masa untuk kita tengok balik adakah keseluruhan atau hanya beberapa perkara penting perlu ditekankan,” katanya.








