SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan kewangan RM500 kepada mangsa terjejas ribut di Sepang dan Puchong menjelang Aidilfitri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan itu bagi meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah dua minggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.
“Bantuan RM500 macam biasa, kita akan salurkan kepada setiap mangsa… insya-Allah menjelang Aidilfitri,” katanya ditemui selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju dan Perancangan Strategik Pendidikan Selangor di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini hari ini.
Beliau memaklumkan pihak berkuasa segera membaiki kediaman mangsa di lokasi terbabit sejurus insiden, namun kos belum dapat dipastikan.
“Semalam baru kita sahkan rumah individu yang perlu diperbaiki kebanyakan jenis ‘landed’ terutama di Sepang.
“Anggaran kos (baik pulih) keseluruhan akan dimaklumkan sehari dua lagi dan PBT (pihak berkuasa tempatan) akan buat dulu (baiki pulih),” katanya.
[caption id="attachment_576079" align="aligncenter" width="813"]
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang meninjau keadaan rumah yang rosak akibat ribut di di Apartment Angsana, Pulau Meranti pada 8 April 2023. Foto Facebook APM Sepang[/caption]
Kelmarin, lebih 20 lokasi sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Apartment Angsana Bukit Puchong 2 terjejas akibat ribut.
Kejadian kira-kira 4.30 petang mengakibatkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk mengalami kerosakan.
Susulan itu, Amirudin menerusi media sosialnya mengumumkan penyelarasan bantuan kepada semua mangsa bagi meringankan beban.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut memperuntuk RM300,000 bagi membaiki sebahagian daripada 122 kediaman terjejas.


