SHAH ALAM, 10 APRIL: Festival Usahawan Gempak yang melabuhkan tirai semalam merekodkan hampir 40,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Stadium Malawati di sini.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata jumlah itu mencapai sasaran dan menjadi penanda aras untuk program sama tahun depan.
“Hasil maklum balas, peniaga mendapat sambutan menggalakkan. Jadi kita berhasrat untuk perluaskan program ini ke perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina,” kata Yong Kai Ping.
Beliau menambah sebanyak 20,000 keping Baucar Rahmah turut diagihkan kepada pengunjung sepanjang tempoh program bermula Jumaat lalu.
Festival sempena Aidilfitiri yang menghimpunkan kira-kira 150 usahawan tempatan bertujuan memudahkan orang ramai mendapat keperluan raya dengan menawarkan harga murah.
Program julung kali dari 10 pagi hingga lewat malam itu turut menyediakan cabutan bertuah sehingga RM20,000 termasuk motosikal, televisyen dan barangan elektrik.